fb fb fb fb fb

Pengundi muda dijangka mendominasi PRK Sg Bakap

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun

NIBONG TEBAL, 6 Julai- Pengundi muda dijangka mendominasi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ketika ini. 

Ia selepas kebanyakan mereka dilihat keluar lebih awal untuk mengundi berbanding golongan warga emas. 

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, ia satu tindakan bijak berbanding memilih untuk keluar mengundi pada saat-saat akhir. 

"Keadaan agak seimbang, ada beberapa saluran kita tengok orang muda lebih ramai daripada warga emas, tapi kebanyakan orang mudalah.

"Ia tetap dalam keadaan seimbang... alhamdulillah. Ramai orang muda keluar awal pada kali ini", katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri di sini, hari ini.

SPR dalam pada itu memaklumkan, sebanyak 24 peratus pengundi keluar mengundi setakat 11.00 pagi tadi. 

Terdapat seramai 39,151 pengundi berdaftar di N20 Sungai Bakap.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan Calon Perikatan Nasional (PN), Abiddin Ismail.

ROSLINA BINTI DIN