JOHOR BAHRU, 9 September- Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Negeri Simpang Jeram, berjalan lancar setakat ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata pihaknya berpuas hati dengan kelancaran proses pengundian di semua pusat mengundi yang dibuka sejak pukul 8 pagi tadi.
Katanya, walaupun, peratusan keluar mengundi agak perlahan namun SPR menjangkakan lebih ramai akan keluar mengundi pada sebelah petang.
"Alhamdulillah setakat ini berjalan lancar dan tiada apa isu berbangkit...kita nasihatkan untuk pengundi di Pulai keluar mengundi, hujan juga sudah semakin reda.
"Kita berharap peratusan keluar mengundi ini dapat seperti yang kita sasarkan...jangkaan kita dalam 70 peratus," katanya.
(Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh)
Beliau berkata demikian selepas meninjau pusat mengundi bagi Parlimen Pulai di SMK Taman Bukit Indah, di sini hari ini.
Setakat pukul 12 tengah hari, Parlimen Pulai merekodkan 24 peratus pengundi keluar mengundi; manakala Dewan Negeri Simpang Jeram, 33 peratus.