KOTA BHARU, 18 Julai- Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, bulan depan.
Perkara berkenaan diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Pengerusi BN negeri di Dewan UMNO Negeri, di sini.
Katanya, keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN serta mendapat sokongan penuh daripada kepimpinan UMNO Bahagian Gua Musang.
"Saya telah dipertanggungjawabkan oleh Presiden UMNO (Ahmad Zahid) untuk mengumumkan bagi pihak beliau.
"UMNO telah meneliti senarai tiga calon yang dibuat secara kolektif setelah selesai berbincang dengan pihak perhubungan dan Mohd Azmawi Fikri dipilih oleh TPM (Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid) sendiri untuk mewakill BN dan UMNO bagi PRK DUN Nenggiri,” katanya pada sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan yakin Mohd Azmawi mampu menggalas tanggungjawab diberikan untuk merampas semula kerusi DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Tambah beliau, pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) untuk PRK Nenggiri akan dibuat Isnin depan dan bakal disempurnakan oleh Ahmad Zahid.
Sementara itu, Mohd Azmawi, 38, mengakui tugas berat bakal dipikulnya, namun bersedia mengambil cabaran berkenaan.
Beliau berjanji akan menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh parti dengan sebaik mungkin walaupun pertama kali dicalonkan untuk bertanding pada pilihan raya.
"Saya mengambil cabaran ini dan Insya-Allah dengan izin Allah, dengan kerjasama dan kekuatan seluruh jentera BN... saya bertekad menawan kembali Nenggiri. Semestinya saya ingin menjadikan Nenggiri lebih baik dan memakmurkan tanpa mengira fahaman politik," katanya.
Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula 19 Jun lalu.
Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli DUN (ADUN) Bersatu mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada parti itu.