GUA MUSANG, 21 Julai- Jentera Parti Amanah Negara (Amanah) giat mengatur gerak bagi membantu kempen calon parti Barisan Nasional (BN) bagi mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, 17 Ogos depan.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jentera parti itu akan digerakkan bersama-sama jentera parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain.
Menurutnya, kompenan parti Pakatan Harapan (PH) perlu bekerjasama sebagai satu pasukan pada PRK Nenggiri.
"...dalam Pilihan Raya kalah dan menang bersilih ganti. Namun harapan kita adalah mencapai kemenangan dengan semangat yang ditunjukkan supaya boleh capai kemenangan.
"Hari ini kita baru lancarkan kekuatan jentera akan bertambah dan PH akan berusaha sebaik mungkin dan kita akan susun bersama-sama calon dan jentera PH," katanya selepas Majlis Pelancaran Jentera Amanah untuk PRK Nenggiri di Pejabat Parti Amanah Negara kawasan Gua Musang di Bandar Utama di sini.
Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) Kelantan mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada 17 Ogos depan.
Khamis lalu Pengerusi BN Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Bangunan UMNO Kelantan.