fb fb fb fb fb

PRK Nenggiri: Jangan sentuh isu 3R-Shamsul

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah

GUA MUSANG, 8 Ogos- Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengingatkan semua pihak supaya tidak sesekali menyentuh isu yang boleh menggugat ketenteraman awam termasuk isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Nenggiri.

Jelasnya, ini bagi mengelakkan wujudnya kegusaran dan mencetuskan rasa tidak harmoni dalam kalangan rakyat sepanjang PRK dilangsungkan.

"Bukan bermakna kita tidak boleh bercakap, tetapi jangan melanggar peraturan, peraturan sedia ada.

"Kita harap semua pihak sama ada parti politik, kerajaan mahupun parti lawan tidak menyentuh isu - isu sensitif ini yang telah di maklumkan dari semasa ke semasa",katanya demikian kepada media pada Majlis Ramah Mesra bersama lebih 200 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Negeri Kelantan di sini.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang laporan membabitkan isu 3R sepanjang tempoh berkempen PRK DUN Nenggiri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata pihaknya sudah meluluskan 70 permit ceramah dan kempen bergerak bagi parti politik yang bertanding di DUN Nenggiri sejak hari penamaan calon, 3 Ogos lepas.

Daripada jumlah itu 34 permit dikeluarkan membabitkan ceramah manakala 36 kempen bergerak.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD