fb fb fb fb fb

PRK Mahkota: Surat layang tidak beri kesan kepada calon BN

Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA, 23 September- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa surat layang yang menyeru pengundi Cina untuk tidak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota di Johor pada Sabtu ini tidak akan memberi kesan kepada calon BN iaitu Syed Hussien Syed Abdullah.

"Semalam, perkara itu dibawa oleh Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) kepada saya sebab saya berada di DUN Mahkota. Didapati ia (penyebaran surat layang) tidak ada pengaruh dan tidak mempengaruhi pengundi Cina," katanya.

Jelasnya, seluruh jentera membabitkan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bertungkus lumus untuk memastikan semua pengundi keluar menunaikan kewajipan mereka pada 28 September ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara serta sesi libat urus 66 syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta bersama 12 kementerian di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi daripada DAP mendakwa surat layang yang dicetak dalam bahasa Mandarin tersebut diletakkan dalam peti surat di kawasan perumahan Cina seperti Taman Sri Kluang, Taman Suria, Taman Lian Seng dan Taman Pelangi.

SITI AISHAH MD ISA