fb fb fb fb fb

PRK Mahkota: Jadikan pusat media lokasi peroleh maklumat

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching ditemui media semasa membuat lawatan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di Taman Ilham di sini, hari ini.

KLUANG, 23 September- Pusat Media harus dijadikan sebagai lapangan bagi mendapatkan sebarang maklumat, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, pusat media diwujudkan bagi memudahkan wartawan membuat sebarang gerak kerja serta liputan di pusat berkenaan.

Tambahnya, beberapa perkara sedia ditambah baik termasuk capaian internet di pusat tersebut.

"Jadi saya harap bahawa rakan-rakan media puas hati dengan fasiliti yang disediakan. Internet saya percaya cukup hebat. Ini yang kami selaraskan untuk syarikat perkhidmatan internet. Yang penting pihak media selesa dengan fasiliti disediakan di pusat ini," katanya.

Beliau ditemui media semasa membuat lawatan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di Taman Ilham di sini, hari ini.

Pusat media tersebut diwujudkan atas inisiatif Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi Malaysia serta Jabatan Penerangan.

Dalam pada itu, Teo yang juga Ketua Wanita DAP berkata pengundi perlu keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab dalam memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRK Mahkota.

Beliau berkata pihaknya akan berbuat sehabis baik walaupun kerusi DUN Mahkota disandang BN sebelum ini.

"Bagi saya, kita perlu mendapatkan sokongan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, jantina dan kaum.

"Jadi kita akan buat sehabis baik untuk menyantuni setiap lapisan masyarakat dengan mengadakan dialog dan memahami isu mereka serta menjelaskan hala tuju Kerajaan Perpaduan dan negeri.

"Jadi siapa yang dapat sokongan lebih tinggi, kami akan tunggu keputusannya pada 28 September ini," ujarnya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI