KLUANG, 22 September- Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota dinasihatkan untuk memilih calon yang boleh menjadi penghubung antara kerajaan negeri dan pusat, sekali gus menyelesaikan pelbagai masalah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata adalah penting bagi pengundi memilih wakil rakyat terbaik yang dapat merancakkan pembangunan serta sosioekonomi di kawasan DUN Mahkota, selain memastikan kesinambungan dapat diteruskan dengan baik.
"Kluang adalah kawasan bandar dan separa bandar di tengah-tengah kawasan yang potensinya cukup besar..tentunya calon yang diketengahkan oleh kita mempunyai kemampuan yang sama, jika tidak lebih, untuk membantu penduduk di Mahkota.
"Saya harap dalam masa kurang dari seminggu lagi, pengundi di Mahkota akan kembali memberikan kepercayaan kepada calon BN (Barisan Nasional) yang mewakili Kerajaan Perpaduan," katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Realisasi Rumah Mampu Milik Kluang di Taman Kluang Perdana di sini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata Kerajaan Perpaduan tidak akan tergugat oleh usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dibentangkan oleh pihak pembangkang.
Katanya, pada masa ini, Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Anwar adalah kukuh, walaupun diganggu oleh pihak tertentu.
Beliau turut percaya bahawa dengan adanya sokongan 153 Ahli Parlimen, jumlah itu sudah melebihi dua pertiga, sekali gus menggagalkan usaha pihak pembangkang.