fb fb fb fb fb

PRK Kuala Kubu Baharu: Penduduk harap fasiliti awam dinaik taraf

Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya, PRK Kuala Kubu Baharu mempunyai seramai 40,226 pemilih.

KUALA KUBU BAHARU, 29 April- Membantu golongan usahawan kecil dan belia serta menaik taraf infrastruktur dan fasiliti awam.

Itu antara harapan penduduk kepada calon yang bakal memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.

"Kalau dia (calon) menang itu nanti kita minta kemajuan di pekan Kuala Kubu Baharu ini termasuk taman-taman, peluang pekerjaan untuk belia-belia dan juga kemajuan daripada segi 'tourism' (pelancongan). Kita di sini banyak 'tourism', kalau boleh dimajukanlah, lagipun bangunan-bangunan lama masih ada di sini, kalau boleh nak dibaiki untuk memperbaharukan bangunan. Selain daripada itu, kita memerlukan hospital atau pakar di hospital di sini," kata pesara, Kalaichelvan Singaravelu.

"Dia perlu tumpukan perhatian, daripada segi perpaduan nombor satu, nombor dua daripada segi pendidikan, supaya tidak ada pelajar-pelajar tercicir. Nombor tiga, bantuan daripada segi peruntukan Ahli Dewan Negeri salurkan dengan baiklah," pesara, GS Murugeson.

"Saya berharap kalau calon yang dipilih rakyat, akan datang yang berjaya di Kuala Kubu Baharu ini, saya berharap sangat ada pembaharuan seperti saya nak sangat-sangatlah hospital, memandangkan penduduk di Kuala Kubu Baharu ini ramai. Jadi kita mahu adalah perubahan pada hospital. Sebab hospital terlalu lama," kata jururawat, Hassnah Dollah.

Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR), PRK Kuala Kubu Baharu mempunyai seramai 40,226 pemilih.

Kesemua mereka terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM