fb fb fb fb fb

PRK KKB: Bakal calon disaran isi borang, buat semakan awal

Bakal calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) disaran mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor sebelum hari penamaan calon / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 25 April - Bakal calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) disaran mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor sebelum hari penamaan calon.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata langkah itu bagi melancarkan proses penamaan calon yang dijadual berlangsung Sabtu ini.

Beliau berkata, bakal-bakal calon juga disaran membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan sebagai bukti pembayaran.

“Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan Kertas Penamaan Calon,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Ikmalrudin, kertas penamaan boleh diserahkan dari pukul 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

"SPR menasihati bakal-bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan baik dan lancar," katanya.

PRK DUN KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser dan SPR menetapkan hari pengundian pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN