fb fb fb fb fb

PRK DUN KKB: Keputusan MCA tak ganggu jentera Kerajaan Perpaduan - Fahmi

Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 25 April- Keputusan MCA untuk tidak berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) tidak akan menganggu gerak kerja jentera Kerajaan Perpaduan dalam mendepani pilihan raya itu.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil berkata, fokus utama parti komponen ketika ini adalah mengetengahkan kewibawaan calon Kerajaan Perpaduan iaitu Pang Sock Tao dalam usahanya membangunkan kawasan DUN itu.

"Hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi teras. BN juga telah mengatakan bahawa mereka akan membantu. Jadi, saya fikir di lapangan perkara yang paling penting adalah kita kekal fokus.

"Semalam di Kuala Kubu Baharu, kami mendengar beliau (Sock Tao) berucap (dan) Datuk Seri Ahmad Maslan (Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO) mengangkat ibu jari tanda setuju," katanya di sini.

Sementara itu, Fahmi berkata, Sock Tao adalah calon tepat berdasarkan pengalamannya serta kebolehan komunikasi beliau yang baik.

"Kita mempunyai calon yang bagus. Beliau boleh berkomunikasi dengan baik dan mempunyai banyak pengalaman bekerja di kementerian yang berbeza," tambah Fahmi.

Fahmi bercakap kepada pemberita ketika menghadiri Majlis MADANI Muhibbah Aidilfitri 1445H/2024 anjuran Kementerian Komunikasi dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.

SITI AISHAH MD ISA