KEMAMAN, 2 Disember - Seorang warga emas tetap bersemangat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi walaupun pada usia mencecah 88 tahun pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman hari ini.
Mohd. Said, pengundi dari Kampung Baru, Kerteh, berkata dia tidak pernah ketinggalan mengundi sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-2, bermula tahun 1959 lalu dan hari ini menjadi pengundi pertama tiba di Pusat Pembuangan Undi PRK Kemaman di Sekolah Kebangsaan Kerteh jam 7.30 pagi.
Menurut Mohd Said, pada setiap kali pilihan raya, dia sememangnya bersemangat menunaikan kewajipan sebagai rakyat Malaysia walaupun pada usia yang sudah lanjut.
Katanya, setiap kali pilihan raya, dia akan bersiap awal pagi untuk keluar mengundi sama ada peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau yang mempunyai 10 anak, 16 cucu dan 9 cicit turut menggalakkan anak-anaknya yang lain keluar mengundi termasuk dalam PRK Kemaman kali ini.
Mohd Said yang sebelum ini bekerja sebagai tukang kebun di sekolah berkenaan berkata, beliau tetap setia dan puas hati selepas setiap kali menunaikan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia.
Bagi Parlimen Kemaman kali ini, terdapat seramai 2,844 pengundi berdaftar di Pusat Pengundian, Sekolah Kebangsaan Kerteh membabitkan lima saluran.