KEMAMAN 20 November- ‘Urusan belum selesai’... Luahan tersebut disuarakan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Beliau menyifatkan pemilihannya sebagai calon P040 Kemaman tepat, memandangkan ini merupakan satu laluan bagi menyelesaikan beberapa perkara yang tertangguh sebelum ini.
Bersandarkan pengalaman selama lebih 40 tahun dalam bidang ketenteraan negara, beliau berharap perkara ini boleh dijadikan pengalaman dalam menabur bakti serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan kesinambungan pembangunan di Kemaman.
"Banyak program saya buat dahulu, bila berhenti, bagi saya urusan belum selesai, tuhan jentik hati saya. Jadi mungkin itulah saya teruskan, apa yang telah saya tinggalkan sebelum ini", katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pertemuan dengan Veteran ATM di Kerteh, Terengganu.
PRK Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mewakili BN, manakala PAS diwakili Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.