fb fb fb fb fb

PRK Kemaman: 4 barisan pemimpin Tertinggi UMNO iringi calon BN

Antara barisan emimpin Tertinggi UMNO dan parti gabungan PH yang hadir mengiringi calon Barisan Nasional (BN) bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada hari Penamaan Calon pagi tadi/FOTO BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 18 November - Empat barisan pemimpin tertinggi UMNO mengiringi calon Barisan Nasional (BN), bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman 8.50 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan.

Antara yang mengiringi beliau ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Dr Ahmad Said hadir sebagai pencadang dan Bekas Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hadir sebagai penyokong.

Beberapa pemimpin tertinggi dari beberapa parti Gabungan Pakatan Harapan (PH) turut hadir memberi sokongan antaranya Naib Presiden BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan lain-lain.

Sementara itu, Calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tiba di Pusat Penamaan Calon Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman pada 8.45 pagi tadi.

 

Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu diiringi pencadang , Che Alias Hamid yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman dan penyokong, Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chukai.

Calon BN selesai menyerahkan borang penamaan calon 9.15 pagi tadi manakala Calon Pas jam 9.10 pagi.

Pilihanraya Kecil P040 Kemaman kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara BN dan PAS.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.

Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

GRACE AISYAH KEDAYAN