KERTIH, 21 November - Pengundi di Parlimen Kemaman diminta memberikan peluang kepada calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bagi menerajui Parlimen tersebut.
Menurut Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Sri Ahmad Said berkata ia bagi memastikan kesinambungan antara Kerajaan pusat dan negeri dapat diteruskan dengan baik terutama daripada aspek pembangunan serta peruntukan kepada rakyat.
Tambah Ahmad Said, Barisan Nasional (BN) telah meletakkan calon yang berwibawa dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi rakyat.
"Sebab itu saya katakan inilah kali pertama beliau(Mohamed Affandi) bertanding. Beliau merupakan orang sini (Kemaman).
"Saya hendak beritahu kepada para pengundi, sekiranya kita (BN) menang, peruntukan dan sebagainya akan diberi", kata Ahmad Said selepas hadir dalam membantu kempen calon BN di sini.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi PAS.
Pada PRU15 lalu, calon PAS, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.