fb fb fb fb fb

PRK Kemaman: Mohamed Affandi tidak mahu janjikan bulan, bintang

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor/FOTO RTM

KEMAMAN, 23 November-Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman 2 Disember ini.

Sebaliknya Mohamed Affandi akan berusaha menjadi 'orang tengah' kepada pengundi Kemaman bagi memastikan segala masalah yang dihadapi didengari kerajaan Persekutuan.

"Kalau perkara tersebut tiada dalam kawalan, saya tidak boleh berjanji.

"Bagi saya, kita harus ada dalam pemikiran untuk memberi. Kalau dapat mandat tersebut, saya mesti buat yang terbaik", kata Affandi ketika ditemui semasa melakukan tinjauan mesra ke atas penduduk di sekitar Kijal, di sini.

Turut hadir Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Sri Ahmad Said.

Tambah Mohammed Affandi, fokusnya kini adalah untuk menyelesaikan beberapa isu permasalahan rakyat yang berbangkit antaranya isu ekonomi setempat serta kesusahan nelayan.

Pada PRK itu, Raja Mohamed Affandi berdepan pertembungan satu lawan satu dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 November ini bagi pengundian awal dan 2 Disember sebagai hari mengundi.

Dalam pada itu, Barisan Nasional (BN) terus mengandakan kempen dengan mengadakan aktiviti ziarah penduduk di sekitar kijal, Kemaman

Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata ketika ini momentum sokongan rakyat kepada BN semakin meningkat.

"Kita semakin mendapat momentum. beberapa kawasan yang saya santuni, kebanyakannya adalah positif setelah penerangan diberikan", katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD