fb fb fb fb fb

PRK Kemaman: Calon BN anggap panggilan tugas kepada negara

Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor

KUALA LUMPUR, 13 November- Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman menganggap pemilihan itu sebagai panggilan tugas kepada negara.

Jelas beliau, kepercayaan tersebut akan diguna sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan, sekali gus membantu mengembalikan semula kerusi Parlimen berkenaan kepada BN.

"Apabila diberikan tawaran ini, saya berfikir panjang dan saya rasa (kini) sudah tiba masa untuk berikan semula apa yang saya ada sepanjang (berkhidmat) lebih 40 tahun kepada negara, khususnya Parlimen Kemaman," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Parlimen Kemaman di Menara Dato' Onn di sini.

Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilihan Mohamed Affandi, 65, adalah 'calon langsung' tanpa melihat hieraki jawatan dalam parti dan ia bukan kali pertama dibuat oleh BN.

Sebelum ini, BN pernah meletakkan calon langsung iaitu Datuk Ramli Md Noor bagi PRK Parlimen Cameron Highlands pada 2019, sekali gus berjaya mengekalkan kerusi itu dengan 12,038 undi dan majoriti 3,238.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yakin faktor calon serta strategi BN dan Kerajaan Perpaduan dapat meningkatkan sokongan pengundi kepada Mohamed Affandi di PRK Parlimen Kemaman, 2 Disember nanti.

"Saya yakin kerana beliau dibesarkan di Kemaman, keluarga beliau berada di Kemaman. (Kini) tiba waktu sesuai untuk Kemaman yang bukan sebenarnya kubu kuat PAS untuk meletakkan calon yang UMNO bagi kepercayaan, calon yang diabsahkan kepada BN untuk wakili rakyat Kemaman di Dewan Rakyat nanti, insya-Allah," katanya pada majlis sama.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid pada 26 September lalu selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujud unsur rasuah ketika berkempen.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman diadakan pada 2 Disember dan hari penamaan calon 18 November ini, manakala hari pengundian awal pada 28 November.

ARTIKEL BERKAITAN:
Bekas Panglima ATM calon BN PRK Kemaman
BN bakal tampil 'calon langsung' di Kemaman - Ahmad Zahid
PRK Parlimen Kemaman, SPR tetapkan hari mengundi pada 2 Disember

SITI AISHAH BINTI MD ISA