fb fb fb fb fb

BN bakal tampil 'calon langsung' di Kemaman - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi

ALOR SETAR, 11 November- Barisan Nasional (BN) akan mengetengahkan "calon langsung" untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon terbabit akan diumumkan beliau sendiri pada 13 November depan.

Tambah beliau, pemilihan itu akan dilakukan tanpa melihat hieraki jawatan dalam parti.

“Kita pernah melakukan pemilihan calon untuk direct candidate ataupun calon langsung tanpa melihat kepada hierarki jawatan di dalam parti dan ini telah diterima dengan baik.

"Besar kemungkinan kaedah sama akan kita lakukan di Kemaman,” katanya selepas merasmikan Retreat Biro Politik UMNO Kedah, di sini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan pemimpin UMNO peringkat tertinggi dan negeri turut hadir pada perasmian itu.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid pada 26 September lalu selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujud unsur rasuah ketika berkempen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman diadakan pada 2 Disember dan hari penamaan calon 18 November ini, manakala hari pengundian awal pada 28 November.

SITI AISHAH BINTI MD ISA