KUALA LUMPUR, 13 November- Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Kemaman, di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata pemilihan Raja Mohamed Affandi, 66, setelah mendapat persetujuan daripada seluruh peringkat kepimpinan UMNO dan BN, untuk memberi peluang kepada calon langsung itu bagi merebut semula kerusi Parlimen berkenaan.
"Kali ini kita akan mengemukakan seorang tokoh di luar daripada kepemimpinan UMNO untuk diketengahkan sebagai calon BN di Kemaman. Maka setelah mengadakan perundingan dengan sahabat- sahabat dalam BN dan UMNIO kita tidak syak bahawa calon kita ini nanti Insya-Allah akan dapat membawa perubahan di Kemaman," katanya.
Sementara itu, Raja Mohamed Affandi yang telah berkhidmat sebagai anggota tentera selama hampir 40 tahun, menyifatkan pencalonannya itu sebagai ‘panggilan tugas' untuk membantu mengembalikan semula kerusi Parlimen berkenaan kepada BN.
“Saya berfikir panjang apabila diberikan tawaran ini...saya rasa sudah sampai masanya untuk saya berikan balik apa yang ada pada saya sepanjang 40 tahun ini kepada negara kita dan khususnya bagi Kemaman.
“Saya ingin ucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kepercayaan diberikan ini. Ia nilai yang sangat tinggi dan saya akan berusaha untuk memastikan kepercayaan itu saya bayar balik,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini, manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November.
PRK Parlimen Kemaman diadakan berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.