fb fb fb fb fb

PRK DUN Jepak: Kempen lancar, peraturan dipatuhi

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh

BINTULU, 2 November- Perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil, Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak berjalan lancar tanpa sebarang kesalahan dan insiden yang tidak diingini.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, sehingga kini kesemua parti bertanding mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Untuk DUN Jepak ini, kita melihat kempen berjalan semua parti lancar dan satu istimewanya mereka berkempen secara berhemah, setakat ini tidak menerima apa-apa aduan dan saya ucapkan tahniah kepada warga DUN Jepak kerana dapat berkempen dalam suasana kekeluargaan", katanya kepada media dalam sesi semakan Isi Peti Undi Pilihan Raya Kecil N.67 Jepak di Dewan Suarah Bintulu.

Sesi berlangsung selama dua jam itu bagi meneliti persiapan akhir menjelang hari kemuncak PRK DUN Jepak.

Sementara itu, SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Jepak pada Sabtu ini, mencapai 65 peratus.

Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, jangkaan peratusan itu juga lebih tinggi berbanding 63 peratus yang direkodkan dalam Pilihan Raya Negeri 2021 bagi DUN itu sebelum ini. 

"Kita berharap semua pengundi di kawasan Jepak dapat keluar mengundi pada masa yang ditetapkan, waktu mengundi akan bermula pada 7.30 pagi hingga 5.30 petang dan terdapat beberapa pusat mengundi yang akan tutup pada pukul 4.00 petang", katanya.

Bagi PRK DUN Jepak, dijangkakan seramai 22,761 pemilih akan mengundi menerusi 14 pusat pengundian membabitkan 45 saluran. PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Gabungan Parti Sarawak, Parti Bumi Kenyalang dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak.

ROSLINA BINTI DIN