fb fb fb fb fb

PRK DUN Sungai Bakap: Calon PKR wakili Kerajaan Perpaduan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow/Foto RTM

GEORGETOWN, 4 Jun- Calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Perkara itu dipersetujui sebulat suara oleh semua komponen parti dalam satu mesyuarat khas, petang semalam (Isnin).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata keputusan dicapai tanpa sebarang pertikaian mana-mana parti.

“Barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang putuskan dengan sebulat suara bahawa PKR akan akan menghantar calon dalam PRK Sungai Bakap.

”Ia berdasarkan semangat parti yang bertanding sebelum ini diberi keutamaan untuk bertanding semula dan PKR bersedia menyahut mandat daripada barisan kepimpinan Perpaduan untuk pilih seorang calon bagi PRK Sungai Bakap.

“Parti lain juga tidak minta untuk bertanding atas semangat parti yang bertanding sebelum ini diberi peluang untuk tanding semula, sebelum keputusan ini dibuat pun, parti lain beri sokongan kepada PKR untuk hantar calon,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Kerajaan Perpaduan negeri di Wisma DAP di sini yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar.

Turut hadir; Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid selaku Timbalan Pengerusi MPN Pulau Pinang, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengerusi AMANAH Pulau Pinang Muhammad Faiz Fadzil.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid diumumkan sebagai Pengarah PRK Sungai Bakap bagi Kerajaan Perpaduan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD