BANTING, 4 September - UMNO tidak menolak kemungkinan meletakkan calon wanita bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, pada 28 September ini.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pemilihan calon Barisan Nasional (BN) itu akan dimuktamadkan oleh presiden parti yang juga pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak lama lagi.
"Kawasan ini dulu wanita, jadi Presiden Barisan Nasional akan buat keputusan. Adalah dua tiga nama yang sudah dihantar. Jadi kita tidak mahu kata apa-apa, jadi saya fikir biarlah Presiden atau Pengerusi Barisan Nasional Johor akan mengumumkan," kata Johari.
Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media pada majlis Pelancaran Demo Plant Merujaya Pome Solutions, di sini.
Johari yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata UMNO yakin akan mempertahankan DUN Mahkota namun tidak mengambil mudah saingan yang bakal dihadapi.
PRK DUN Mahkota ditetapkan pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September.
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.