TAPAH, 20 April- Lebih 200 anak muda yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Ayer Kuning menyatakan sokongan terhadap calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir.
Komitmen itu dizahirkan menerusi Program Jelajah Anak Muda Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Keramat dan Changkat Petai.
Program turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta calon BN, Dr Mohamad Yusri.
"Syukur alhamdulillah, hari ini kita berjumpa anak-anak muda di kawasan DUN Ayer Kuning dan dari segi respon yang saya lihat bersama Datuk Nurul dan Datuk Akmal, pengundi-pengundi nampak gayanya menyokong kita di sini," kata Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau ditemui selepas program Program Jelajah Anak Muda Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Keramat dan Changkat Petai di Tapah, Perak.
Beliau turut menekankan usaha berterusan sedang dilaksanakan bagi memastikan kehadiran pengundi muda, termasuk mereka yang kini berada di luar kawasan Tapah.
Dalam pada itu, Veteran UMNO akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon BN.
Bekas Pengerusinya, Tan Sri Tajol Rosli Mohd Ghazali berkata, Dr Mohamad Yusri Bakir merupakan seorang yang berwibawa dan mampu wakili suara rakyat di kawasan tersebut.
Sehubungan itu, usaha mendekati pengundi berusia 65 tahun ke atas sedang giat dilakukan.
"Undi mereka masih diperlukan untuk memenangkan calon Barisan Nasional. Kadang-kadang kepada kita yang dah berumur ini, mungkin terasa seperti kita tidak lagi diperlukan.
"Jadi dengan kehadiran saya hari ini, ia menunjukkan bahawa tenaga kita masih diperlukan, walaupun bukan secara fizikal, tetapi memberikan ceramah-ceramah, pandangan mungkin kepada veteran atau kepada anak-anak muda juga", katanya pada sidang media Program Sembang Santai Veteran UMNO di PDM Ayer Kuning.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Perak melihat kerjasama parti dalam Kerajaan Perpaduan mampu menyumbang kepada kemenangan BN dalam PRK Ayer Kuning.