TAPAH, 20 April- Usaha mendekati pengundi berusia 65 tahun ke atas sedang giat dijalankan bagi memastikan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Bekas Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Tan Sri Tajol Rosli Mohd Ghazali berkata kumpulan pengundi veteran masih memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan calon.
"Undi mereka (veteran) masih diperlukan untuk memenangkan calon BN. Kadang-kadang, kita yang sudah berumur ini mungkin terasa seolah-olah tidak lagi diperlukan.
"Namun, kehadiran saya hari ini membuktikan bahawa tenaga kita tetap relevan — bukan secara fizikal, tetapi melalui ceramah, pandangan dan nasihat, sama ada kepada veteran mahupun anak-anak muda," katanya.
Jelas beliau, calon BN, Dr. Mohamad Yusri Bakir merupakan individu berwibawa yang diyakini mampu membawa suara rakyat di kawasan tersebut.
Tajol Rosli yang juga bekas Menteri Besar Perak juga percaya kerjasama parti dalam Kerajaan Perpaduan akan menjadi faktor penyumbang kepada kemenangan BN dalam PRK berkenaan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Program Sembang Santai Veteran UMNO di Pusat Daerah Mengundi Ayer Kuning di sini hari ini.