fb fb fb fb fb

Pengerusi BN Perak optimis calon BN mampu realisasi manifesto

Datuk Seri Saarani Mohamad

BIDOR, 21 April- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak Datuk Seri Saarani Mohamad optimis manifesto yang digariskan Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Negeri Ayer Kuning, Dr. Muhamad Yusri Bakir mampu direalisasikan.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak menyifatkan 'Janji Pilihan Raya' bukan sekadar alat kempen, tetapi ia merupakan satu komitmen yang perlu dicapai demi kepentingan rakyat.

"Saya katakan kepada calon, dia perlu juga ada hasrat, keinginan dan visi. Sebagai calon yang bakal dipilih walaupun dasar dibuat oleh negeri. Tetapi sebagai peribadi, calon dia boleh memberi janji ataupun memberi harapan kepada pengundi pengundi dia.

"Saya pun beritahu dia kalau nak buat, jangan melebih. Hanya boleh berjanji benda yang kita boleh buat. Dia pun ada tiga tahun je sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Perkara yang diumumkan itu adalah baik untuk dia (Dr. Muhamad Yusri Bakir) menawarkan khidmat kepada pengundi-pengundi Ayer Kuning," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sejati MADANI: Impian Jadi Realiti Daerah Batang Padang di Kampung Kenangan, di sini.

Terdahulu, Calon Barisan Nasional, Dr. Mohamad Yusri Bakir, menggariskan tiga tekad dan tujuh tawaran menerusi manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Tekad yang menjadi asas kepada manifesto termasuk, menjamin perpaduan dan keharmonian masyarakat; serta menghubungkan inisiatif sosioekonomi selaras aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.

Manakala tujuh tawaran dalam manifesto melibatkan ekonomi tempatan yang makmur; meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat; pembangunan infrastruktur setempat serta agenda anak muda dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI