TAPAH, 21 April- Seramai 582 anggota polis serta pasangan akan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning, esok.
Kesemua mereka akan mengundi di dua pusat mengundi yang disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di daerah itu.
Tinjauan RTM di lokasi mendapati persiapan akhir sedang giat dijalankan oleh petugas SPR bagi memastikan kelancaran proses pengundian.
Seramai 23 pegawai SPR termasuk tiga anggota polis pengiring akan ditugaskan sepanjang proses undi awal berlangsung.
Daripada jumlah keseluruhan, seramai 555 anggota dan pasangan akan mengundi di dua saluran di Dewan Rekreasi APR Transit, Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, manakala 27 orang lagi akan mengundi di satu saluran di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.