TAPAH, 21 April- Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kini memasuki minggu terakhir dengan tumpuan jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) beralih kepada kumpulan sasaran lebih khusus.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi, pendekatan kempen kali ini memberi keutamaan kepada pengundi muda, mahasiswa dan ibu bapa berbanding ceramah berskala besar.
"Kita lebih memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran. Sebab itu, ceramah besar-besaran bukan lagi keutamaan. Contohnya, hari ini kita fokus kepada ibu bapa pengundi, semalam pula kepada pengundi dalam kalangan mahasiswa.
"Ini lebih penting kerana kita tidak mahu membazir masa bercakap kepada mereka yang bukan pengundi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Keramat dan Changkat Petai di sini, yang merupakan PDM angkat jentera Johor.
Tambahnya, kerjasama erat antara jentera BN dan PH yang terbukti berkesan semasa PRK Pulai dan Simpang Jeram sebelum ini, turut menjadi asas kepada strategi kempen kali ini.
Hubungan rapat antara jentera negeri dan tempatan dijangka memberi kelebihan kepada calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir dalam usaha mengekalkan kerusi tersebut.