AYER KUNING, 25 April- Kesiapsiagaan jentera Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) di Dewan Negeri (DUN) Ayer Kuning kini berada di tahap optimum menjelang hari pengundian esok.
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera gabungan BN dan PH telah digerakkan sepenuhnya hingga ke akar umbi menggunakan pelbagai pendekatan.
Beliau yakin pengundi di Ayer Kuning akan terus memberikan sokongan kepada calon BN demi kesinambungan perkhidmatan yang disumbangkan Allahyarham Ishsam Shahruddin.
"Mengenai isu-isu yang ditimbulkan oleh pihak lawan, ia telah ditangkis sebaik mungkin.Memang menjadi kelaziman pihak lawan membangkitkan isu yang tidak relevan dengan masyarakat tempatan.
"Saya harap pengundi di Ayer Kuning bijak memilih calon yang mampu memberi perkhidmatan terbaik, iaitu calon Barisan Nasional", katanya ketika berucap pada Program Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Keroh, Ayer Kuning, Perak.
Mengulas berhubung pengulangan isu nasional yang dimainkan pembangkang, Dr Ahmad Zahid menegaskan bahawa isu-isu tersebut bukanlah perkara baharu dan tidak berkaitan secara langsung dengan keperluan penduduk setempat.