KUALA LUMPUR, 25 April- Seramai 601 petugas akan bertugas bagi proses pengundian Pilihan Raya Kecil Dewan Negeri Ayer Kuning pada 26 April (esok).
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Indera Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 19 Pusat Mengundi dan 63 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian untuk 31,281 pengundi bagi PRK kali ini.
"Pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
"Bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi diwartakan," menurut kenyataan itu.
Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian bagi memudahkan semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pada hari mengundi.
Selain itu pengundi juga diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.
Sementara itu para majikan turut diingatkan supaya membenarkan tempoh munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi seperti yang diperuntukkan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Penggunaan telefon bimbit di saluran mengundi juga tidak dibenarkan.
"SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke saluran perlu meletakkan telefon bimbit di tempat disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi," tambah kenyataan itu.
Semakan awal maklumat pengundian seperti maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan boleh dibuat melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
Pada Selasa lepas, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan, sementara SPR mengeluarkan 116 kertas undi pos kepada mereka yang berhak mengundi secara pos.