TAPAH, 24 April- Berbaki kurang 48 jam menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Ayer Kuning calon bertanding terus memperhebat kempen di kawasan mengundi.
Setiap ruang dan peluang dimanfaatkan untuk bertemu lebih ramai pengundi kawasan tersebut.
Bagi calon Barisan Nasional (BN) Dr. Mohamad Yusri Bakir usaha mendekati pengundi secara fizikal dilipatgandakan.
"Ya, pasti kita akan meningkatkan dengan cara-cara yang tertentu. Kita telah berjumpa dengan semua PDM dan kita telah menyatakan apa yang perlu mereka buat apa yang perlu mereka lakukan di saat-saat akhir ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan pertemuan dengan pengundi.
Sementara itu calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek juga turut mempergiat usaha bertemu pengundi secara bersemuka antaranya, di Pasar Pagi Tapah Road.
Manakala calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS mempergiat kempen fizikal rumah ke rumah pada sebelah pagi selain turut memanfaatkan sosial media untuk menyantuni pengundi di luar kawasan.
PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Isham Shahrudin 58, pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.