SUNGAI BAKAP, 25 Jun- Polis Pulau Pinang berpuas hati dengan perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang berlangsung sepanjang empat hari ini.
Jurucakap Polis bagi PRK Sungai Bakap Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) W. Puspanathan berkata, perjalanan ceramah dan kempen oleh kedua-dua parti bertanding lancar dan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Tidak ada sebarang salah laku atau pelanggaran undang-undang permit dan tiada sebarang laporan diterima berhubung kes pilihan raya ini.
"Setakat ini saya memuji semua pihak yang memohon permit dan telah menjalankan kempen secara bergerak juga telah mematuhi peraturan, orang-orang politik di sini memang tidak memberi ancaman kepada siapa-siapa lebih berhemah dengan ikut cara politik masing-masing.
"...kalau kita teruskan kerjasama ini maka sehingga keputusan diterima kita tak akan menghadapi masalah. Maka rakyat tidak rasa bimbang untuk keluar mengundi," katanya dalam sidang media di sini.
Setakat ini, 17 permohonan permit telah diluluskan, dan tiada permohonan yang ditolak.
10 permit membabitkan Pakatan Harapan (PH), manakala tujuh lagi Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun polis turut menasihatkan semua yang terlibat terus menjalankan kempen secara aman dan beretika serta tidak menimbulkan sebarang provokasi kepada mana-mana pihak, termasuk melakukan khianat atau merosakkan bahan-bahan kempen pilihan raya.