fb fb fb fb fb

Polis bersiap siaga pada tahap tertinggi untuk PRK Sungai Bakap

W. Puspanathan

NIBONG TEBAL, 22 Jun- Polis memberi jaminan mengenai kesiapsiagaan tahap tertinggi daripada aspek keselamatan dan menangani risiko luar jangka sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Jurucakap Polis Pulau Pinang bagi PRK Sungai Bakap Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) W. Puspanathan berkata, sekurang-kurangnya 800 pegawai dan anggota polis terlibat daripada pelbagai pasukan telah ditempatkan.

"...daripada aspek kesediaan untuk hadapi sebarang insiden, kita telah bersedia dan kita ada kekuatan anggota seramai 800 pegawai dan anggota dengan pasukan-pasukan daripada persekutuan simpanan dan unit tempur ringkas yang juga diberi latihan sewajarnya untuk meghadapi  proses ini.

"Jadi kita tidak menjangkakan rusuhan setakat ini. Bagaimanapun pihak polis bersedia untuk menghadapi sebarang ancaman yang akan ada dalam proses ini," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Konti MutiaraFM bagi Program Bicara Prisma Khas PRK Sungai Bakap di sini.

Tahap kesiapsiagaan tertinggi telah ditunjukkan pihak polis sepanjang proses penamaan calon pagi tadi yang berjalan lancar tanpa sebarang insiden. 

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI