fb fb fb fb fb

PM senarai empat iltizam jika diberi peluang teruskan pentadbiran

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 17 November - Empat iltizam disenaraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk negara sekiranya diberi peluang meneruskan pentadbirannya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iltizam pertama adalah menyatupadukan rakyat demi kesejahteraan dan kebajikan Keluarga Malaysia, manakala kedua, menyuburkan kemakmuran ekonomi serta pembangunan negara.

Yang ketiga menurut Ismail Sabri adalah memelihara kesucian agama Islam tanpa meminggirkan agama lain selaras Perlembagaan Persekutuan serta keempat, memperkasa integriti tadbir urus negara.

"Inilah iltizam saya untuk Malaysia, demi kestabilan dan kemakmuran masa depan tanah air kita. Terima Kasih Keluarga Malaysia!," katanya dalam kenyataan Amanat PRU hari ini.

Beliau berharap, seluruh iltizam dapat dilaksanakan sekiranya semua pengundi memberi kepercayaan untuk beliau dan Barisan nasional (BN) menerajui negara bagi penggal akan datang.

(Foto fail)

Tambah Ismail, menggalas tanggungjawab menerajui negara bermula 21 Ogos 2021 bukanlah satu tugas yang mudah apabila beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketiga dalam penggal yang sama (2018-2022), selain berlaku peralihan tiga kerajaan dalam tempoh tiga tahun, adalah episod gelap kepada negara.

Menurutnya, ketika itu negara berdepan ancaman pandemik COVID-19 dengan jumlah pesakit harian mencecah puluhan ribu, mengorbankan ratusan rakyat sehari sehingga menyebabkan fasiliti perubatan hampir lumpuh.

Tidak cukup dengan itu katanya, negara berdepan krisis ekonomi dengan jumlah pengangguran meningkat lebih 700,000 orang dan banyak sektor perniagaan terpaksa gulung tikar serta rakyat hilang mata pencarian.

"Sepanjang tempoh 15 bulan, inilah 15 inisiatif yang telah kita capai bersama. Hari ini, keadaan bertambah baik dan kita mampu bergerak maju ke hadapan, namun masih banyak yang perlu kita laksanakan untuk menjadi sebuah negara bangsa yang teguh bersama dan kembali dihormati di persada dunia.

"Pada 19 November ini, Keluarga Malaysia akan melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan negara ini terus ditadbir dengan baik," katanya selaku penyandang kerusi Parlimen Bera sejak 2004 yang bakal ditentang calon Pakatan Harapan (PH) Abas Awang dan Asmawi Harun dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

Media Baharu