(Tangkap layar Twitter Dr Bigger balls / Membalak @apanakdikato)
KUALA LUMPUR, 17 November - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin akan membuat laporan polis terhadap satu akaun Twitter yang memuat naik tangkap layar perbualan aplikasi WhatsApp berunsur fitnah membabitkan beliau.
Khairy berkongsi tangkap layar itu yang dimuat naik akaun bernama Dr Bigger balls / Membalak @apanakdikato.
Ia menunjukkan tangkap layar WhatsApp dengan kapsyen 'KJ mengamok (mengamuk) plak (pula) guys..
Menteri Kesihatan itu melalui Twitter berkata satu laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan dibuat terhadap pengguna akaun berkenaan.
"Fake (palsu). Tak perlu sebar fitnah 'black ops', "source: trust me bro" macam ni.
"Laporan polis dan SKMM akan dibuat termasuk terhadap akaun Dr Bigger balls ini.
"Tolak fitnah dan politik kotor. Fokus pada #KitaJagaSungaiBuloh#KJ4SB," katanya yang berkongsi status di Twitter hari ini.
Dalam muat naik itu, Dr Bigger balls berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp yang didakwa sebagai Khairy bersama seseorang yang memperlihatkan calon BN Sungai Buloh itu memberi arahan untuk 'pecah undi' di Rembau bagi tujuan menjatuhkan calon BN 'Tok Mat' (Datuk Seri Mohamad Hasan).
(FOTO FB Khairy Jamaluddin)