ALOR SETAR, 17 November- Seorang pendawai elektrik dikenakan hukuman denda sebanyak RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan mencantas 50 batang bendera parti politik pada 14 November lalu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat melakukan khianat mencantas 50 batang bendera sebuah parti politik di tepi Jalan Kampung Alor Parit, Jalan Bukit Raya, Pendang antara 10.00 pagi hingga 11.30 pagi.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, peguam, Siti Sabirah Ramli yang mewakili tertuduh memohon mahkamah meringankan hukuman memandangkan tertuduh seorang duda yang perlu menyara seorang anak perempuan berusia 17 tahun dan ibunya berusia 77 tahun.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Asmaa' Zamri memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal memandang kes itu berkepentingan awam.