fb fb fb fb fb

Pihak terlibat PRK Nenggiri, perlu waspada kandungan palsu teknologi AI

Teo Nie Ching/ Foto BERNAMA

KULAI, 4 Ogos- Pihak terlibat dalam Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dinasihatkan untuk berwaspada dengan penyebaran kandungan palsu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, penggunaan AI yang disalah guna perlu diberi perhatian, meskipun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa membuat pemantauan di laman sosial.

Penyelia media sosial juga akan diminta memberi kerjasama menurunkan hantaran palsu, selain isu 3R (raja, agama dan kaum).

"...banyak juga penipuan yang guna pakai AI untuk buat video Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atau orang-orang terkenal. Jadi apabila kami menghadapi satu PRK, ada kemungkinan ada orang sengaja menggunakan untuk membuat kandungan palsu.

"Jadi nasihat saya kepada semua ialah MCMC bersama-sama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga semua pihak untuk terus membuat pemantauan," katanya kepada pemberita semasa sesi sidang media Program sumbangan pelajar cemerlang peringkat parlimen Kulai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra, di sini.

Sementara itu, empat pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima sebuah komputer riba dan wang tunai sebanyak RM500 sebagai sumbangan daripada Parlimen Kulai.

Manakala, 31 pelajar lagi menerima sumbangan wang tunai institusi pengajian tinggi (IPT) membabitkan jumlah keseluruhan RM20,200.

Selain itu, set kerusi dan meja komputer turut disumbangkan kepada sekolah berkenaan, melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM27,500.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI