fb fb fb fb fb

Orang Asli mahu wakil rakyat yang cakna

Foto RTM

GUA MUSANG, 4 Ogos-Pengundi Orang Asli di kawasan Dewan Negeri Nenggiri, Gua Musang, Kelantan mahu pemimpin berjiwa rakyat yang cakna dengan isu setempat yang dihadapi mereka.

Masyarakat Orang Asli berharap wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dapat meneruskan pembangunan sosioekonomi dan meningkatkan kemudahan infrastruktur asas di kawasan tersebut.

Salah seorang penduduk Pos Simpor iaitu Dendi Abdullah berharap wakil rakyat yang dipilih kelak mampu bekerja dan mendengar masalah yang di hadapi rakyat terutama masyarakat orang asli sekali gus membawa dan menyuarakan masalah di hadapi di Dewan Negeri Kelantan.

"Harapan kami masyarakat orang asli untuk kali ini untuk PRK Nenggiri, kami mengharapkan wakil rakyat yang boleh bekerja untuk rakyat.

"Jangan macam sebelum ini apabila masyarakat kami hendak membuat aduan kepada wakil rakyat, susah untuk kita berhubung. Jadi kita harapkan dengan PRK ini wakil rakyat kita yang boleh mewakili dan menyuarakan hak-hak masyarakat di Nenggiri", katanya ketika ditemui RTM di sini.

Bagi Elan Pedik yang juga penduduk Pos Gob pula, wakil rakyat yang bakal dipilih nanti perlu melihat dan memperhalusi masalah-masalah kemudahan asas yang dihadapi penduduk orang asli di Nenggiri.

"Bagi saya memang harap wakil rakyat kena sama-sama bagi bantuan . Banyak masalah yang perlu diberi perhatian seperti masalah jalan, bekalan air terutamanya bekalan solar yang tidak kami dapati", katanya di sini.

Lebih 2,000 pengundi Orang Asli bakal mengundi pada PRK Nenggiri, 17 Ogos ini.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Barisan Nasional (BN) yang diwakili Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Mohd. Rizwadi Ismail mewakili PAS

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD