fb fb fb fb fb

PH, BN optimis bentuk Kerajaan Pahang

(Rizal Jamin)

KUANTAN, 23 November- Satu perbincangan bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail diadakan semalam dalam usaha membentuk Kerajaan Pahang.

Setiausaha PH Pahang, Rizal Jamin dalam kenyataan media memaklumkan hasil perbincangan adalah positif ke arah membentuk Kerajaan Pahang antara PH dan BN yang stabil dan inklusif.

“Hasil perbincangan adalah positif ke arah membentuk kerajaan Pahang di antara BN dan PH yang stabil dan inklusif demi menjamin kemakmuran dan pembangunan mapan ekonomi negeri Pahang Darul Makmur,” katanya.

Bagaimanapun, kata Rizal, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Perikatan Nasional (PN) Pahang memenangi 17 kerusi daripada 41 kerusi Dewan Negeri Pahang, manakala BN memperoleh 16 kerusi dan PH sebanyak lapan kerusi.

Keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri tidak boleh dibentuk kerana tiada gabungan yang menang sekurang-kurangnya 21 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Justeru, kerajaan campuran terpaksa dibentuk buat kali pertama bagi negeri Pahang seperti yang berlaku di Perak.

 (Siaran media PH Pahang)

Media Baharu