KLANG, 19 November - Seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sedarkan diri ketika bertugas di pusat mengundi Sekolah ACS Mehtodist, Jalan Raya Barat di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Cha Hoong Fong berkata lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai tidak sedarkan diri atas sebuah kereta buggy semasa bertugas di lokasi pusat mengundi tersebut.
"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang tetapi pemeriksaan mendapati dia telah meninggal dunia.
"Hasil siasatan awal pihak polis dan keterangan isteri mangsa menyatakan bahawa mangsa sebelum ini pernah menerima rawatan sebagai pesakit jantung," kata Cha.
Lelaki itu bertugas membawa kenderaan berkenaan untuk kelancaran proses pengundian di situ.
"Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR)," katanya.