fb fb fb fb fb

GPS menang lima kerusi di Sarawak, BN di Beaufort

KUALA LUMPUR, 19 November- Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memenangi lima kerusi Parlimen di negeri itu manakala Barisan Nasional (BN) menawan satu kerusi Parlimen di Sabah iaitu Beaufort, berdasarkan keputusan rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 9.45 malam.

Lima kerusi yang dimenangi GPS ialah Igan, Mukah, Lawas, Betong dan Batang Sadong.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong, yang juga penyandang Parlimen Lawas, mempertahan kerusi itu dengan majoriti 5,677 undi menewaskan dua pencabarnya iaitu Baru Bian (Parti Sarawak Bersatu) dan Japar Suyut daripada Pakatan Harapan (PH).

 (Lima kerusi yang dimenangi GPS ialah Igan, Mukah, Lawas, Betong dan Batang Sadong)

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Hanifah Hajar Taib pula mempertahan kerusi Parlimen Mukah dengan memperoleh majoriti 15,686 undi menewaskan Abdul Jalil Bujang (PH).

Kerusi Parlimen Batang Sadong dimenangi Rodiyah Sapiee dengan majoriti 14,893 undi dalam pertandingan satu lawan satu manakala Dr Richard Rapu @ Aman Begri (Betong) dengan majoriti 11,302 undi dan Ahmad Johnie Zawawi (Igan) dengan majoriti 14,662 undi.

Ketua Wanita UMNO Beaufort Datuk Siti Aminah Aching menang di kerusi Parlimen Beaufort dengan majoriti 2,518 undi menewaskan lima pencabar lain.

Penjumlahan undi di kerusi Parlimen lain masih berlangsung.-BERNAMA

Media Baharu