fb fb fb fb fb

Parti politik Sabah dan Sarawak tidak boleh diketepikan dalam pembentukan kerajaan

(Ismail Sabri pada program Bual Bicara Khas Kestabilan dan
Kemakmuran Bersama Perdana Menteri)

KUALA LUMPUR, 16 November- Parti-parti politik Sabah dan Sarawak tidak boleh diketepikan dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Barisan Nasional (BN) sedia bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

"Sebab itu kita mesti mendahului untuk mendapat 112 kerusi bagi membentuk kerajaan."

Tambahnya, gabungan parti selepas pilihan raya perlu diputuskan oleh parti bukannya dibuat oleh mana-mana individu.

Beliau berkata demikian dalam program Bual Bicara Khas Kestabilan dan Kemakmuran Bersama Perdana Menteri di TV1.

Aspek pembangunan infrastruktur bakal dilaksanakan oleh BN selepas PRU15, tidak ketinggalan Sabah dan Sarawak.

Pelbagai perancangan menerusi Bajet 2023 juga telah diatur untuk Sabah dan Sarawak.

Ismail Sabri turut menjelaskan, "saya akan fokus kepada Sabah dan Sarawak dari segi infra ekonomi rakyat. Layanan kepada Sabah dan Sarawak sama dengan semenanjung akan diberikan keutamaan dan kelebihan."

Sabah dan Sarawak masing-masing diperuntukan sebanyak RM6.3 bilion dan RM5.4 bilion menerusi Bajet 2023 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama, antaranya bagi melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan.

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam bual bicara khas di TV1)

Media Baharu