fb fb fb fb fb

Ismail Sabri komited selesaikan secara berperingkat perkara tertunggak dalam MA63

(FOTO BERNAMA)

SANDAKAN, 16 November - Komitmen dan keutamaan akan terus diberi dalam menyelesaikan secara berperingkat segala perkara yang tertunggak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata usaha itu bagi memastikan setiap perjanjian termaktub dalam MA63 dapat dilunaskan demi perubahan besar, termasuk di Sabah.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas MA63 berkata banyak perkara telah dicapai menerusi Jawatankuasa Khas MA63, termasuk dalam aspek bayaran tunai petroleum daripada PETRONAS dan cukai jualan ke atas produk petroleum kepada negeri ini yang bernilai hampir RM5 bilion.

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

"Saya merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas MA63 yang bermesyuarat setiap bulan dengan Sabah diwakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor. Saya sudah memberikan komitmen bahawa segala tunggakan yang belum selesai melalui MA63, kita akan selesaikan sedikit demi sedikit.

"Ini komitmen Kerajaan Persekutuan dan saya percaya dengan apa yang kita beri melalui MA63 yang kita laksanakan, insya-Allah perubahan besar akan berlaku di Sabah," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Libaran di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gum Gum, di sini, semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Ismail Sabri berkata beliau bermesyuarat dengan Hajiji dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg setiap bulan untuk membincangkan perkara yang belum diselesaikan berkaitan MA63.

"Setiap bulan, kita bersama Hajiji dan Abang Johari akan membuat senarai semak dari segi perkara-perkara yang belum diselesaikan lagi.

"Rancangan masa depan pun telah dibincang dengan pihak Sabah dari segi mewujudkan syarikat berkaitan penghasilan minyak. Ini adalah supaya Sabah juga mempunyai pegangan dalam saham berkaitan penjualan minyak," katanya.

Ketika ditanya sasaran menyelesaikan perkara tertunggak dalam perjanjian itu, Ismail Sabri berkata pihaknya tidak mempunyai sasaran spesifik, sebaliknya akan cuba sedaya upaya menyelesaikannya secepat mungkin.

Media Baharu