(Foto hiasan)
ROMPIN, 5 Disember- Berbaki dua hari lagi, sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman Rabu ini, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Johari Hussain terus mendekati para pengundi.
Dalam pecutan terakhir kempen, beliau lebih banyak meluangkan masa bersama pengundi pelbagai lapisan umur secara turun padang.
Malah katanya, kehadiran jentera Pakatan Harapan (PH) membantu jentera kempen sebagai satu pasukan; meningkatkan keyakinannya.
"Kali ini kita bergabung dengan PH. Kerjasama juga diberikan dengan baik dan bersama-sama menggerakkan jentera di DUN Tioman.
"Gabungan bersepadu ini juga luar biasa dengan kehadiran yang diterima," katanya kepada pemberita selepas Majlis Santai Petang bersama penduduk Kampung Jawa di Rompin.
Dalam pada itu, pihaknya juga telah merangka strategi dengan menyediakan bas supaya pengundi yang berada di sekitar Lembah Klang dapat pulang untuk mengundi pada 7 Disember.
Ini bagi memastikan peratusan keluar mengundi meningkat terutamanya dalam kalangan pengundi muda.
Kerusi DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara penyandang calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandangnya, Datuk Seri Johari Hussain, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd. Fadzli Mohd. Ramly (Pakatan Harapan) dan Nor Idayu Hashim (Perikatan Nasional).
(Datuk Seri Johari Hussain)