fb fb fb fb fb

Melaka kekal larang guna aset kerajaan negeri untuk PRU15

MASJID TANAH, 3 November- Penggunaan kemudahan dan aset kerajaan termasuk dewan milik kerajaan negeri di Melaka bagi tujuan kempen atau sebarang aktiviti Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tidak dibenarkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ia adalah ketetapan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan negeri akur dengan arahan berkenaan.

"SPR sudah menyatakan bahawa pejabat kompleks kerajaan negeri dan aset milik kerajaan negeri tidak boleh digunakan untuk berkempen.

Kalau kerajaan negeri lain membenarkan, itu terpulang kepada SPR. Di Melaka, kita patuh dengan arahan SPR dan akan kekal hingga hari penamaan calon, tempoh berkempen seterusnya hingga ke hari pengundian," kata Sulaiman ketika ditemui RTM selepas mengadakan Lawatan Pemantauan Projek Negeri dan Program Komuniti Perikanan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau.

Semalam, kerajaan Negeri Sembilan membenarkan parti politik menggunakan dewan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kegunaan berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia dibenarkan dengan sewaan mengikut jam dan bukannya menyewa mengikut hari atau dipajak seminggu.


(Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali diberi taklimat oleh pegawai bertugas
berhubung projek berkenaan semasa lawatan tersebut)

Media Baharu