ROMPIN, 1 Disember - Kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerusi Dewan Negeri (DUN) Tioman berjalan lancar dan aman.
Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar sejak hari penamaan pada 24 November lalu pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan kesalahan pilihan raya setakat ini.
Bagaimanapun bagi memastikan kelancaran PRU15 DUN Tioman terus berjalan lancar, pihak polis telah menugaskan 376 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin yang dibantu anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang serta bahagian trafik.
(Mohd Azahari bercakap kepada pemberita selepas melakukan pemantauan
di lokasi Sekatan Jalanraya (SJR), Sungai Puteri, di sini)
"Untuk kekuatan IPD Rompin, kita mempunyai 376 orang untuk digunakan dan samping itu pihak IPK telah memberi bantuan setakat ini, 101 orang melibatkan anggota cantas, JSJ, IPK, trafik dan untuk Pasukan Gerakan Am (PGA) ditugaskan untuk melakukan sekatan jalan raya (SJR) sehingga selesai nanti," kata Mohd Azahari di sini.
Penugasan anggota ibahagikan kepada tiga Zon iaitu Zon Kuala Rompin, Zon Tanjung Gemok dan Zon Pulau Tioman.
Dalam pada itu katanya, hingga hari ini IPD Rompin telah meluluskan sebanyak 36 permit kempen bagi parti yang bertanding di DUN Tioman sejak 24 November lalu.
Sementara, bagi proses undi awal DUN Tioman, sebanyak dua pusat pengundian akan dibuka melibatkab balai polis IPD Rompin dan Balai Polis Tekek di Pulau Tioman yang melibatkan 262 pengundi serta 19 undi pos.