fb fb fb fb fb

Majikan di Padang Serai diminta beri pelepasan buat pekerja mengundi

PADANG SERAI, 1 Disember- Calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Azman Nasruddin merayu pihak majikan agar memberi pelepasan kepada pekerja untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Parlimen padang Serai 7 Disember ini.

Beliau turut meminta kerajaan mempertimbangkan cuti khas kepada rakyat kawasan parlimen terbabit bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.


(Calon Perikatan Nasional Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasruddin/Foto FB/yb.a.nasrudin)

"Jadi hari mengundi ini jatuh pada hari Rabu, hari bekerja. Jadi kita mintalah kalau boleh, bukan kalau boleh..harap sangat-sangat bolehlah pihak-pihak majikan tak kiralah majikan itu berada dalam kawasan parlimen Padang Serai, dalam negeri Kedah ataupun majikan yang luar daripada Kedah seperti di Pulau Pinang dapat memberikan pelepasan ataupun memberikan cuti khas kepada pekerja-pekerja yang akan mengundi di Parlimen Padang Serai", katanya kepada media.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media di Pusat Khidmat ADUN Lunas di Padang Serai, Kedah.

Pada sidang media sama, beliau turut memuji kempen yang disifatkan lancar sejak hari penamaan calon pada 24 November lalu hingga kini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember, berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH) M. Karupaiya, pada 16 November lepas.
 

Media Baharu