(Saravanan bertemu dengan penduduk di Pasar Awam Tapah hari ini/FOTO FB M. Saravanan)
PUTRAJAYA, 10 November - Majikan yang tidak membenarkan, mengenakan sebarang penalti atau memotong gaji pekerja yang tidak hadir bekerja kerana keluar mengundi bakal berdepan tindakan undang-undang.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia selaras dengan hak pekerja untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Sehubungan itu, Saravanan menggesa semua majikan sektor swasta untuk memberi kebenaran kepada para pekerja bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
“Para majikan boleh mengambil langkah seperti memberi time-off (kebenaran keluar) kepada pekerja yang mengundi di tempat pengundian yang berdekatan atau memberi pelepasan kepada pekerja yang perlu mengundi di tempat pengundian yang jauh.
“Pekerja yang memerlukan lebih daripada satu hari untuk ke tempat mengundi pula boleh mengambil cuti tahunan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
(Saravanan bertemu dengan penduduk di Pasar Awam Tapah hari ini/FOTO FB M. Saravanan)
Majikan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah Subseksyen 25(1) Akta 5, boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara setahun sekiranya disabitkan kesalahan.
Subseksyen 25(1) Akta 5 memperuntukkan tiap-tiap majikan hendaklah, pada hari mengundi, membenarkan suatu tempoh yang munasabah bagi tiap-tiap pemilih yang bekerja dengannya mengundi, dan tiada majikan boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan lain mana-mana pemilih itu atau mengenakan ke atasnya atau menuntut daripadanya apa-apa penalti oleh sebab dia tidak hadir bekerja dalam tempoh itu.