fb fb fb fb fb

Kuasa pengundi muda, corak masa depan politik negara

SEREMBAN, 9 November- Lebih 232,000 pengundi baharu dan muda di Negeri Sembilan bakal melaksanakan tanggungjawab masing-masing, pada Pilihanraya Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah kuasa mengundi daripada golongan berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana mereka boleh menjadi penentu kemenangan sesebuah parti yang bertanding.

Di Negeri Sembilan, terdapat 53, 226 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun, manakala 179,153 pengundi adalah 21 hingga 29 tahun.

Jumlah pengundi kategori umur tersebut adalah yang tertinggi di Negeri Sembilan.

Berdasarkan kajian, Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Sofia Hayati Yusoff berkata sebanyak 70% pengundi muda bersedia untuk mengundi dalam PRU15.


(Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM,
Dr. Sofia Hayati Yusoff)

Kandungan media sosial calon menjadi platform utama menarik minat dan menyakinkan pengundi muda memilih calon.

"Mahasiswa saya 76% menyatakan dalam PRU15 melihat calon bertanding penting daripada parti politik yang diwakili bertanding mengikut analisa", katanya.

Pengundi muda pula berharap pemimpin baharu peka dengan masalah dihadapi rakyat dan fokus kepada pemulihan ekonomi negara.

Sementara itu, beberapa pengundi muda yang ditemui mempunyai harapan yang tersendiri dalam melaksanakan tanggungjawab sempena PRU15.

"Saya berumur 18 tahun, pertama kali mengundi, Saya nak undi yang menjaga kebajikan rakyat", kata Nur Alya Zainab Azman.


(Pengundi muda, Nur Alya Zainab Azman)

"Saya pertama kali mengundi di Seremban, semoga kerajaan baru membantu dalam pendidikan untuk anak muda", menurut Parani Parasuraman.

"Saya nak kerajaan yang berjiwa rakyat dan bertanggungjawab. Saya teruja nak undi pertama kali", kata Rabiatul Adibah Azhan.

Kehadiran pengundi muda ini dilihat mampu mencorakkan masa depan negara.

Ayuh pengundi muda bersama kita jalankan tanggungjawab demi kesejahteraan negara !!!

Laporan disediakan Vimala kasturi verasamy, RTM

Media Baharu