fb fb fb fb fb

Kerjasama Persekutuan–Sabah pacu kelancaran pembangunan negeri

FOTO BERNAMA

TAWAU, 27 November - Hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah menjadi faktor utama yang mempercepat serta memantapkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kestabilan politik antara kedua-dua pihak memberi kesan langsung kepada ekonomi, pelaburan serta kesejahteraan rakyat, termasuk penyelesaian isu elektrik, pembinaan sekolah baharu, pembaikan jalan raya dan pembangunan institusi pendidikan seperti maktab perguruan.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan komitmen kerajaan pusat terhadap Sabah bukan sekadar janji, tetapi diterjemahkan melalui peningkatan peruntukan dan pelaksanaan dasar yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Orang tanya saya, apa yang dibuat dalam tiga tahun sebagai Perdana Menteri. Kita tambah peruntukan sehingga RM17 bilion. Bagi isu elektrik, kita kembalikan kuasa itu kepada Sabah. Ada yang kata ini memang hak Sabah, sebab itu kita bincang, kita buat pindaan undang-undang di Parlimen dan serahkan semula kuasa elektrik kepada negeri.

"Inilah kerajaan Pakatan Harapan yang pertama melaksanakan penyerahan kuasa elektrik kepada Sabah. Mereka yang sebelum ini bercakap tentang hak negeri, semasa jadi menteri kenapa tidak dituntut? Kita yang laksanakan. Sekarang kuasa elektrik sudah kembali kepada Sabah, dan Datuk Seri Hajiji ucap terima kasih.

"Beliau kemudian memohon peruntukan tambahan untuk melaksanakan projek di seluruh negeri, dan Kerajaan Persekutuan menyediakan RM1.2 bilion. Kalau tidak cukup, beritahu, kita runding secara baik. Sebab itu saya mahu Pakatan Harapan menang, supaya rundingan dapat dibuat dengan baik, bukan dengan maki hamun," katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan kerajaan komited melaksanakan penyelesaian isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan proses rundingan masih berjalan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE