SUNGAI BAKAP, 25 Jun-Kerjasama erat parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan menjadi kekuatan pada kempen PRK N20 Sungai Bakap kali ini.
Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, ia membolehkan usaha meraih undi bagi memastikan kemenangan calon PH, Dr Joohari Ariffin dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Selain itu, kapasiti calon ditampilkan kerajaan perpaduan yang merupakan anak jati Sungai Bakap juga turut menjadi sandaran bagi memenangi hati para pengundi.
"Kerjasama komponen parti BN dengan PH sangat bagus. Saya nampak BN bertungkus lumus, DAP semua pun bertungkus-lumus begitu juga AMANAH.
"Sekarang kita ada kerjasama sangat erat dan kita mengatur strategi bersama dan kita ada bilik gerakan bersama juga. saya tidak nampak ada masalah", katanya ketika menghadiri Ceramah Perpaduan PRK N20 di Taman Puteri Gunung, Simpang Ampat.
Selain calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin, turut sama dalam ceramah itu Naib Presiden Keadilan yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami.